Wednesday, October 30, 2013

Tomyam dan kisah keluarga

Oleh kerana tv sedang rosak, jadi aku rasa baik aku menulis di sini.

Aku mahu cerita pengalaman aku di kedai makan. Petang tadi aku sangat mengidam makan tomyam, jadi aku pun cari kedai makan untuk tapau. Ada satu kedai saja yang baru buka, dan mana kedai itu adalah tomyam seafood. Walaupun mula-mula aku agak berkira-kira untuk masuk kerana ramai budak-budak lelaki melepak di pintu kedai, akhirnya aku gunakan juga teknik 'nekad sesaat' supaya aku tidak menyesal nanti.

Pelanggan tidak ramai. Tiba-tiba makcik dari dapur menyapa aku "ye dik?" Entah kenapa aku sangat ragu-ragu dengan kedai itu. Otak aku jadi tidak dapat berfikir dengan baik sampai aku bertanya "ada jual tomyam tak?" Aku yakin makcik tadi pasti tak senang hati dengan soalan aku "mestilah ada dik" hmm...sudah namanya kedai tomyam, lainlah kalau minta roti canai mungkin tak ada.

Sementara menunggu aku duduk sambil buka facebook. Tiba-tiba ada suara dari arah belakang "haa! Apa lagi tu? Yang sana tu dah habis belum? Kamu sini. Yang lain balik! Balik! Sembahyang tak! Belajar tak! Apa nak jadi!" Ya Allah terperanjat aku. Suara seperti petir. Aku pula yang jadi takut. Pada ketika ini akal dan hati aku tidak sepakat. Aku teringin mahu lihat pakcik itu, tapi hati aku rasa takut. Entahlah. Akhirnya aku hanya sempat melihat pakcik itu menggunakan ekor mata aku sebelum dia berlalu pergi. Sudahlah hanya dari belakang pula tu. 

Aku masih sempat dengar bebelan pakcik itu yang lebih kurang begini "nak main pun ada hadnya. Ada masa sembahyang. Ada masa belajar. Kalau ajak ke masjid tak apa juga!".. marah benar pakcik ni. Daripada cerita tadi, aku dapat simpulkan bahawa pakcik ini mungkin pemilik kedai. Ada anak yang sedikit degil dan bercampur dengan budak-budak yang tidak berapa elok. Bagus juga pakcik ni. Nasib sahaja aku tidak sempat melihat anak pakcik ini, jika tidak hati jahat aku pasti sudah berbisik "haa padan muka. Melepak lagi di depan kedai". Kekeke...